SARAWAK, 10 September – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) melaksanakan Program Mobiliti Pelajar bersama Tokyo University of Agriculture (Tokyo NODAI) yang melibatkan seramai 18 orang pelajar dengan fokus memberi impak kepada komuniti luar bandar di Rumah Panjang Uta Anak Garai, Sungai Sepisang, Selangau, Sarawak.
Sepanjang program, pelajar Tokyo NODAI berpeluang merasai kehidupan masyarakat di Rumah Panjang Uta Anak Garai, Sungai Sepisang, Selangau dan menyelami keunikan budaya tempatan, malah turut menghayati sendiri gaya hidup masyarakat di rumah panjang.
Pengarah program, Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata, kejayaan program mobiliti ini bukan semata-mata diukur melalui kuliah atau penyelidikan, tetapi juga melalui persahabatan dan penghormatan rentas budaya yang terjalin.
“Pengalaman yang diperoleh daripada program ini bukan sekadar aktiviti sosial, tetapi mencerminkan bagaimana ilmu dan budaya mampu menjalin hubungan yang memperkukuh daya tahan komuniti. Bagi penduduk rumah panjang, peluang ini pula adalah sebuah peluang untuk mereka mempersembahkan warisan budaya kepada pelajar antarabangsa bagi mengukuhkan semangat komuniti.
“Gabungan akademik, warisan budaya dan penglibatan komuniti adalah asas memperkukuh kerjasama antarabangsa serta daya tahan masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata, program ini membuktikan bahawa universiti bukan hanya berfungsi sebagai tempat menuntut ilmu, tetapi juga sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat dunia dengan komuniti setempat.
Sementara itu, pelajar Tokyo NODAI, Haruka Tsubota berkata, program tersebut memberi pendedahan berharga tentang kehidupan masyarakat luar bandar di Sarawak serta nilai kelestarian yang diamalkan.
“Saya memperoleh pengalaman unik yang tidak mungkin didapati di tempat lain, antaranya belajar memasak ayam pansuh, menganyam bakul, dan berkongsi budaya kami bersama masyarakat rumah panjang. Ia adalah peluang sekali seumur hidup,” ujarnya.