Oleh: Husna Safiya Nizam
SERDANG, 25 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) baru- baru ini telah menganjurkan Program PINTAR: Pemakanan Intervensi Terbaik Anak Riang bagi memberi pendedahan mengenai pemakanan sihat.
Program yang bertemakan ‘Pendidikan Pemakanan Secara Interaktif dan Mesra Sensori’ ini memberi penekanan terhadap cabaran pemilihan makanan telah disertai 100 peserta terdiri daripada pelatih, ibu bapa serta petugas dari Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) sekitar Lembah Klang.
Pengarah Program, Azza Ainal Zul Ahmad, berkata aktiviti yang dijalankan bukan sahaja menyokong perkembangan fizikal anak-anak malah memberi dorongan kepada penjaga untuk terus berusaha menyediakan pemakanan yang seimbang.
“Pendidikan pemakanan boleh disampaikan secara inklusif dan efektif. Dengan pendekatan menggunakan yang betul isu pemakanan ini boleh diurus secara berperingkat serta kanak-kanak boleh memperoleh pemakanan yang lengkap dan seimbang untuk tumbesaran sihat,” katanya
Jawatankuasa aktiviti program, Nur Alya Auni Rosdi, berkata melalui program ini penilaian awal telah dijalankan serta menunjukkan majoriti kanak-kanak berkeperluan khas mengalami masalah kurang berat badan dan bantut.
“Keadaan ini dikaitkan dengan pengambilan nutrien yang tidak mencukupi akibat tingkah laku pemilihan makanan yang terhad,” katanya.
Selain itu, program ini merupakan inisiatif pelajar tahun akhir Dietetik UPM dengan kerjasama utama Putra-PDK, sebuah PPDK di bawah penyelarasan Dr. Siti Noraini Asmuri. Pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan menggunakan pendekatan kreatif bagi meningkatkan penerimaan terhadap makanan berkhasiat.
Pensyarah Kanan, Jabatan Dietetik, FPSK, UPM, Dr. Noraida Omar, berkata program itu adalah sebagai medan praktikum profesional yang signifikan buat pelajar dietetik.
“Program ini menggabungkan elemen kemahiran terapi pemakanan perubatan khusus buat kanak-kanak berkeperluan khas, penglibatan masyarakat dan penyelidikan, selari dengan aspirasi UPM dalam melahirkan graduan holistik,” katanya.
Dalam pada itu, program ini turut mendapat sokongan 18 buah penaja termasuk badan kerajaan seperti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta badan bukan kerajaan termasuk agensi syarikat yang cakna dan prihatin akan tanggungjawab sosial kepada komuniti yang memerlukan.