Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
BANGI, 28 Julai – Kecemerlangan akademik seiring kematangan sahsiah, kepimpinan dan penglibatan aktif kokurikulum mengangkat pelajar Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ain Nabihah Mohd Padaliah sebagai penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) UPM 2025, anugerah tertinggi universiti kepada pelajar cemerlang holistik.
Anugerah berprestij ini, yang dahulunya dikenali sebagai Anugerah Putra Ikon diberikan kepada pelajar yang menyerlah bukan sahaja dalam bilik kuliah, tetapi juga di medan kokurikulum, lapangan kepimpinan dan ruang kesukarelawanan, dengan keperibadian yang menjadi contoh.
Beliau menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan tersebut dan menyifatkan anugerah itu sebagai hadiah buat ibu bapa tersayang yang sentiasa memberikan dorongan dan kepercayaan.
“Saya percaya kejayaan ini bukan sekadar hasil usaha sendiri, tetapi juga berkat doa dan sokongan ibu bapa yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan saya untuk terus seimbang dalam pelajaran dan aktiviti pelajar,” katanya.
Menyedari bahawa dunia kampus menawarkan lebih daripada sekadar kuliah, beliau menjadikan penglibatan dalam kokurikulum sebagai medium pembentukan diri.
“Kokurikulum banyak membantu saya mengasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi. Walaupun sibuk dengan tugasan akademik, saya tetap memilih untuk aktif dalam pelbagai program universiti kerana saya percaya pengalaman seperti ini membentuk sahsiah dan keyakinan diri,” tambahnya.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ir. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, ANC UPM merupakan pengiktirafan tertinggi universiti bagi mahasiswa yang menyerlah dalam semua dimensi pembangunan diri.
“Di UPM, proses pembelajaran tidak terbatas di bilik kuliah atau makmal semata-mata. Pembelajaran lebih luas dan bermakna berlaku apabila pelajar terlibat dalam penganjuran program, gerakan sukarelawan, jaringan sosial dan ekonomi, pertandingan inovasi, seni warisan serta menjadi suara diplomatik di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
“Anugerah ini meraikan mahasiswa berkarakter, berprinsip, dan berdaya saing. Insan terdidik bukan sahaja bijak, tetapi mampu membawa nilai ilmu kepada masyarakat.”
Beliau turut berkongsi pencapaian membanggakan apabila dua pelajar UPM berjaya merangkul gelaran Pembentang Terbaik di Global Student Leadership Summit yang berlangsung di Istanbul, Turki pada September 2024, membuktikan keunggulan pemikiran mahasiswa UPM di peringkat global.
Dalam bidang inovasi dan kelestarian pula, pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Makanan UPM berjaya membangunkan produk bijirin sarapan inovatif MyDates, yang diperbuat daripada biji kurma dan bebas gluten. Inovasi ini bukan sahaja menangani isu pembaziran makanan, tetapi turut menyumbang kepada gaya hidup sihat.