SERDANG, 26 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah mengadakan program International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) UPM 2025 bagi melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing.
Program dengan kerjasama Buddies Association UPM yang bertemakan ‘Innovating Leadership: Empowering Youth for a Digital Future’ bertujuan untuk membentuk generasi celik teknologi serta mampu menerajui perubahan dalam era digital yang semakin mencabar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, program ini bukan sekadar medan perbincangan malah membina sahsiah, keberanian intelektual dan jaringan global pelajar.
“iFUTURE menjadi wadah penting membentuk watak graduan UPM yang mampu berfikir kritis, berkomunikasi berkesan serta menyumbang kepada kepimpinan masyarakat pada masa hadapan,” katanya.
Dalam program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali menyampaikan ucaptamanya yang bertajuk ‘Leading in The Digital Era: Challenges, Values,and The Future of Student Leadership’.
Dato’ Adissadikin berkata, pemimpin muda perlu memiliki keupayaan untuk beradaptasi dengan perubahan teknologi serta bijak memanfaatkan kemajuan digital bagi membawa impak positif kepada masyarakat,.
“Kini kemahiran seperti literasi digital, kebolehan berfikir secara analitik dan kecekapan komunikasi antara budaya bukanlah pilihan dan manjadi kepentingan dalam membantu kehidupan seharian,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 315 orang yang hadir termasuk mahasiswa dan pelajar antarabangsa dalam memanfaatkan peluang ini untuk memperkasa diri dalam aspek kepimpinan global.